Thursday, April 4, 2013

Kenali Imam Syafi'e dan Mazhabnya.


Kelahiran Imam Al-Syafie

Pengasas Madzhab Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 150 H, pada tahun yang sama dengan kewafatan ulama besar yang hebat iaitu Imam Abu Hanifah (pengasas Madzhab Hanafi). Sampai sebahagian orang mengatakan, "seorang imam telah meninggal dunia dan lahir pula seorang imam yang lain".

Menurut Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam, Imam Al-Syafie dilahirkan di Gaza, Palestin. Desa Gaza ini berdekatan dengan sebuah kota yang dikenali sebagai 'Asqalan. Dan kebanyakan kabilah yang tinggal berhampiran dengan tempat lahir Imam Al-Syafie ini adalah orang-orang Yaman. Pendapat ini turut dibentangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah. Seorang pengkaji sejarah, Al-Himawi, berkata, "Pentakwilan ini bagus sekiranya riwayat-riwayat tersebut Sahih."
__________________________________
Bibliografi:
1. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.

Metod Imam As- Syafie.

Al-Bayan (Keterangan tegas)

Al-Bayan secara ringkas bermaksud suatu penjelasan dalam bentuk kata-kata yang tegas yang ditujukan kepada lawan bicara sesuai dengan bahasa Al-Qur'an.

Di dalam kitab Al-Risalah, Imam Al-Syafie telah menyebutkan lima jenis Al-Bayan iaitu:

1. Al-Qur'an menjelaskan Al-Qur'an sebagai tambahan penjelasan.

Contohnya, Ayat 142 surah Al-A'raf merupakan tambahan penjelasan terhadap ayat 196 surah Al-Baqarah.

2. Hadis menjelaskan bahagian yang tidak dijelaskan dalam Al-Qur'an.

Contohnya, Ayat 6 surah Al-Ma'idah menjelaskan tentang tatacara berwuduk. Namun, tidak dijelaskan jumlah basuhan terhadap anggota wuduk. Tetapi, ada hadis yang menjelaskan tentang kadar basuhan kepada anggota wuduk iaitu sekali basuhan, atau dua kali basuhan atau tiga kali basuhan dan inilah yang paling utama (afdhal).

3. Hadis menjelaskan makna Al-Qur'an yang bersifat umum.

Contohnya, Ayat 43 surah Al-Baqarah menerangkan tentang kewajipan mendirikan solat dan menunaikan zakat. Namun, tidak dijelaskan tatacara mendirikan solat dengan sempurna. Tetapi, ada hadis yang menerangkan tentang tatacara solat Nabi Muhammad SAW, dan kadar penghitungan zakat yang mesti ditunaikan. 

4. Hadis menjelaskan hukum baru yang tidak disebut dalam Al-Qur'an.

Sebenarnya menurut Imam Al-Syafie, setiap apa yang dinyatakan di dalam hadis Nabi, ada dasarnya dari Al-Qur'an. Maka, apa yang disebutkan dari hadis adalah merupakan tambahan penjelasan terhadap Al-Qur'an. 

5. Ijtihad menjelaskan suatu hukum yang tidak dijelaskan dalam Al-Qur'an dan Hadis. (Al-Qiyas)

Ayat 150 surah Al-Baqarah memerintahkan supaya umat Islam yang bersolat berhampiran dengan Masjidil Haram mesti menghadapkan dirinya kepada Kaabah. Namun, kalau berjauhan dari Masjidil Haram dan tidak menemukan orang lain untuk bertanya mengenai kiblat maka mereka diharuskan untuk menentukan arah kiblat dengan ijtihad seperti dengan tanda-tanda, atau ilmu perbintangan.

Sekaligus Al-Bayan ini menerangkan metod Imam Al-Syafie dalam menghuraikan hukum-hukum syarak.

________________________________
Bibliografi:
1. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Bahrawi Abdus Salam. 

Kehujahan Hadis Ahad

Syiah Rafidhah dan sebahagian pihak yang lain tidak menerima kehujahan hadis Ahad. Mereka berhujah dengan dalil:

Firman Allah SWT (mafhumnya):

"Janganlah engkau mengikut apa-apa yang tidak engkau ketahui." (Surah Al-Isra': 36)

"Sesungguhnya sangkaan (zhan) sedikitpun tidak menguatkan hak (kebenaran). (Surah Al-Najm: 28)

Di dalam kitab Al-Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri' Al-Islami, Dr. Mustafa Al-Sibaie telah membentangkan jawapan bagi hujah mereka itu. Kehujahan hadis Ahad telah menjadi Ijmak Ulama' sebagai dalil yang pasti. Ini kerana apabila hadis Ahad telah dipastikan kebenarannya maka kedudukannya tidak lagi menjadi sesuatu yang berbentuk sangkaan (zhan).

Manakala Imam Al-Syafie di dalam kitabnya Al-Risalah telah membentangkan banyak dalil yang menunjukkan kehujahan hadis Ahad, antaranya:

1. Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Semoga Allah memancarkan cahaya kepada seorang hamba yang mendengarkan ucapanku dan menghafalnya, menjaganya dan menyampaikannya." (Riwayat Al-Syafie dan lain-lain)

2. Hadis yang diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam dari Atha' bin Yasar, tentang kisah seorang sahabat Nabi SAW yang mencium isterinya sedang ia berpuasa. Sahabat itu memohon kepada isterinya supaya bertanya kepada Nabi mengenai hukum tersebut sama ada berdosa ataupun tidak. Lalu, isteri sahabat itu pun segera ke rumah Nabi, dan menceritakan kepada isteri Nabi iaitu Ummu Salamah. Ummu Salamah bercerita kepada Nabi mengenai masalah wanita itu. Kemudian Nabi SAW bersabda kepada Ummu Salamah, "Apakah kamu tidak memberitahunya bahawa aku juga pernah melakukannya?"

3. Hadis yang diriwayatkan oleh Malik dari Abdullah bin Dinar dari Ibnu Umar, ia berkata, "Ketika para sahabat sedang berkumpul di Masjid Quba' untuk solat Subuh, tiba-tiba ada seorang yang datang kepada mereka dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah menerima wahyu. Beliau diperintahkan supaya solat menghadap ke arah Kaabah. Maka, mereka yang sedang solat dengan menghadap ke arah Syam, lantas memalingkan wajahnya ke arah Kaabah."

Dari penjelasan ini, kita dapat mengetahui bahawa Imam Al-Syafie turut menggunakan hadis Ahad dalam penetapan hukum syarak.

________________________________
Bibliografi:
1. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.
3. Al-Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri' Al-Islami karya Dr. Mustafa Al-Sibaie.  

Penilaian Hadis Ahad yang Diterima

Imam Al-Syafie telah menerangkan di dalam kitabnya Al-Risalah bahawa periwayatan hadis Wahid/ Ahad yang dapat diterima ialah:

1. Perawi yang meriwayatkan hadis dari awal sampai akhir semuanya terpercaya (Tsiqah).
2. Perawi yang meriwayatkan hadis mestilah memahami betul-betul hadis yang diriwayatkannya itu.
3. Perawi yang meriwayatkan hadis mesti betul-betul menghafal hadis tersebut di luar kepala apabila ia meriwayatkan secara hafalan atau menghafal catatannya dengan cermat apabila meriwayatkan hadis melalui catatan.
4. Periwayatan perawi tidak boleh bertentangan dengan riwayat para perawi yang terpercaya (Tsiqah).
5. Bukan perawi yang mudallis (melakukan tadlis, iaitu cuba menyembunyikan kecacatan hadis).

Berkata Imam Al-Syafie, "Riwayat yang menggunakan redaksi 'an'anah hanya dapat diterima sekiranya tidak diriwayatkan oleh perawi yang mudallis."

Sebelum menilai sesuatu hadis, kita juga mesti mengambil perhatian terhadap mana-mana perawi yang diterima oleh Imam Al-Syafie dan mana pula yang ditolaknya.

Menurut Imam Al-Syafie, hadis yang diriwayatkan oleh Ikrimah adalah lemah. Sedang menurut Imam Al-Bukhari adalah Sahih. Dan hadis yang diriwayatkan oleh Sulaiman bin Yasar dari Aisyah adalah mursal (terputus), padahal Imam Al-Bukhari dan Muslim menilainya sebagai bersambung (muttashil). Para ahli hadis yang lain menolak periwayatan Ibrahim bin Yahya, kerana beliau beraliran Qadariyah, tetapi Imam Al-Syafie mempercayai Ibrahim dan menerima periwayatannya.

________________________________
Bibliografi:
1. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid.
3. Artikel "Al-Syafi'i: Hadis Sahih Adalah Mazhabku"

Hadis Sahih Adalah Mazhabku

Imam Al-Syafie menyedari bahawa hadis-hadis Nabi Muhammad SAW sangat banyak dan mungkin ada hadis yang belum diketahuinya. Oleh sebab itu, beliau berpesan kepada sekalian muridnya, "Jika hadis itu sahih, maka itulah mazhabku!" Atau dengan lafaz yang lain, "Jika kamu menemukan di dalam kitabku pendapat yang bertentangan dengan sunnah, maka ambillah sunnah itu dan tinggalkanlah pendapatku."

Namun, tugas ini tidak mudah. Ustaz Umar Muhammad Noor pernah menerangkan  di dalam blog beliau dengan menukil banyak pendapat ulama dan pendapat beliau sendiri tentang hal ini bahawa seseorang itu mestilah:
1. Meneliti semua hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab Imam Al-Syafie bagi mengetahui sama ada hadis sahih itu sudah diketahui oleh beliau ataupun belum.
2. Tinggalkan pendapat Imam Al-Syafie sekiranya bertentangan dengan hadis sahih yang belum pernah diketahui oleh beliau.
3. Tetap berpegang kepada penafsiran Imam Al-Syafie sekiranya beliau sudah mengetahui hadis sahih itu atau isi kandungan hadis itu.
4. Mengetahui metod penilaian hadis Imam Al-Syafie. Sekiranya hadis sahih itu sesuai dengan metod Imam Al-Syafie, maka fikirkan pula adakah beliau akan menilai hadis itu sebagai sahih dan menerimanya? Jika berasa yakin Imam Al-Syafie dapat menerimanya, maka hadis itu boleh diterima.
5. Seorang yang telah mencapai mujtahid mazhab, supaya dia dapat mengenal pasti dengan cermat sama ada hadis itu akan diterima atau ditolak oleh Imam Al-Syafie, dari sudut kecacatan (illah), nasikh-mansukh, takhsis atau hal yang lain.

Pernah Imam Ibnu Khuzaimah ditanya adakah beliau tahu mana-mana hadis sahih yang belum ditulis oleh Imam Al-Syafie, lantas Imam Ibnu Khuzaimah menjawab, "Tidak." Sekaligus ucapan Imam Ibnu Khuzaimah yang sering meneliti karya Imam Al-Syafie ini menunjukkan kealiman Imam Al-Syafie dalam hadis.
______________________________________
Bibliografi:
1. Artikel "Al-Syafi'i: Hadis Sahih Adalah Mazhabku", Blog Ustaz Umar Muhammad Noor: umarmnoor.blogspot.com
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam
3. I'lamul Muwaqqiin karya Sheikh Ibn al-Qayyim

Kedudukan Hadis Mursal

Dr. Nuruddin Itr telah menjelaskan definisi hadis mursal iaitu hadis yang disandarkan kepada Nabi oleh seorang tabiin dengan mengatakan, "Rasulullah SAW bersabda...", baik ia tabiin besar mahupun tabiin kecil.

Secara ringkas, hadis mursal ialah hadis yang diriwayatkan oleh tabiin dengan terus menyandarkan kepada Rasulullah SAW tanpa menyebutkan nama sahabat yang meriwayatkan hadis tersebut.

Terdapat perselisihan dari kalangan fuqaha' sama ada hadis Mursal boleh dijadikan hujah ataupun tidak? Sebagaimana yang telah diterangkan oleh ramai ulama' bahawa terdapat sebahagian ulama seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik menganggap hadis Mursal sebagai hadis Sahih dan dapat dijadikan hujah. Imam Ahmad pula hanya menggunakan hadis Mursal jika benar-benar memerlukannya (dharurat).

Pandangan Imam Al-Syafie

Menurut Imam Al-Syafie, hadis Mursal termasuk dalam kategori hadis Daif. Tidak boleh dijadikan hujah melainkan memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Hadis Mursal itu diriwayatkan oleh perawi yang terpercaya (Tsiqah).
2. Hadis Mursal itu diriwayatkan oleh Tabiin Senior (Kibar al-Tabiin) seperti Said bin Al-Musayyab di Madinah dan Hasan Al-Basri di Irak.
3. Hadis Mursal itu tidak bercanggah dengan periwayatan oleh para hafizh yang lain.

3 syarat tersebut mesti disokong dengan salah satu dari empat perkara ini:
1. Hadis Mursal itu disokong dengan Hadis Musnad yang bersambung sanadnya melalui jalan lain.
2. Hadis Mursal itu disokong dengan Hadis Mursal yang lain yang telah diterima oleh para ulama.
3. Hadis Mursal itu sesuai dengan pendapat sebahagian sahabat.
4. Hadis Mursal itu sesuai dengan pendapat (fatwa) kebanyakan ahli ilmu. 

____________________________
Bibliografi:
1. Al-Taqrib wa Al-Taisir karya Imam Al-Nawawi.
2. Manhaj Al-Naqd fi Ulum al-Hadits karya Dr. Nuruddin Itr.
3. Taisir Musthalah Al-Hadits karya Dr. Mahmud Thahan.
4. Usul al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
5. I'lamul Muwaqqiin karya Sheikh Ibn Al-Qayyim. 

Kehujahan Ijmak

Firman Allah SWT (mafhumnya):
"Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia bebas dalam kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali." (Surah Al-Nisa': 115)

Dalam kitab Tafsir Al-Kabir, Imam Al-Razi menjelaskan penafsiran ayat ini dengan berkata, "Ayat ini merupakan dalil yang dijadikan hujah oleh Imam Al-Syafie mengenai kehujahan Ijmak. Dalam satu riwayat menyebutkan bahawa Imam Al-Syafie pernah ditanya mengenai ayat dalam Al-Qur'an yang menunjukkan bahawa ijmak itu adalah Hujjah, lalu ia membaca Al-Qur'an sebanyak 300 kali, sampai bertemu dengan ayat ini."

Kesimpulannya, mengikuti jalan yang bukan jalan kaum mukmin adalah Haram. Demikian menunjukkan kewajipan mengikuti jalan kaum mukmin.

Menurut Imam Al-Syafie, Ijmak terbahagi kepada 2 kategori:
1. Ijmak Umum. Ianya bermaksud kesepakatan umat Islam secara umum.
2. Ijmak Khusus. Ianya bermaksud kesepakatan ahli ilmu yakni Ahli Fiqh (Fuqaha').

Terdapat 2 jenis Ijmak iaitu:
1. Ijmak Soreh. Kata Imam Al-Syafie, "Ijmak soreh ialah apabila engkau atau salah seorang ulama mengatakan 'Hukum ini telah disepakati ', nescaya setiap ulama yang engkau temui juga mengatakan seperti apa yang engkau kata."

2. Ijmak Sukuti. Menurut Prof. Muhammad Abu Zahrah, Imam Al-Syafie tidak memasukkan ijmak jenis ini dalam kategori ijmak yang dapat dijadikan hujah. Ijmak sukuti ialah suatu pendapat yang dikemukakan oleh seorang mujtahid, kemudian pendapat tersebut telah diketahui oleh para mujtahid yang hidup semasa dengan mujtahid di atas, akan tetapi tiada seorang pun yang mengingkarinya.

______________________________
Bibliografi:
1. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
2. Usul Al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
3. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.

Kehujahan Al-Qiyas

Al-Qiyas ialah menyamakan sesuatu yang tidak ada nas hukumnya dengan sesuatu yang ada nas hukumnya kerana wujud persamaan illah hukum. Inilah definisi Al-Qiyas yang disebutkan di dalam kitab Usul al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.

Seseorang bertanya kepada Imam Al-Syafie, "Apakah yang dimaksudkan dengan Qiyas?" Jawab Imam Al-Syafie, "Qiyas dan Ijtihad adalah dua istilah yang sama pengertiannya." Orang itu bertanya lagi, "Apa persamaannya?" Jawab Imam Al-Syafie, "Setiap persoalan yang dihadapi oleh umat Islam, pasti ada ketetapan hukum yang ada indikasi yang menunjukkan ketetapan bagi hukum tersebut. Apabila ada ketetapan hukum yang tersurat, maka ia wajib mengikutinya. Namun, sekiranya ketetapan itu tersirat, maka ia harus mencari kebenaran itu dengan berijtihad dan ijtihadnya itu merupakan qiyas."

Rasulullah SAW bersabda: "Jika seorang hakim memutuskan sesuatu perkara, lalu ia berijtihad dan ijtihadnya itu benar, maka ia mendapat dua pahala. Dan jika ia berijtihad untuk memutuskan sesuatu perkara, dan ternyata ijtihadnya keliru, maka ia hanya mendapat satu pahala."

Inilah dalil yang digunakan oleh Imam Al-Syafie atas kehujahan Al-Qiyas atau Ijtihad.

Menurut Imam Al-Syafie, bukan sebarang orang yang boleh melakukan Qiyas. Seseorang itu mestilah:
1. Mengerti hukum-hukum dalam Kitabullah.
2. Mengetahui nasikh-mansukh.
3. Lafaz-lafaz yang bermakna umum atau yang khusus.
4. Mampu menggali makna ayat-ayat yang perlu diberi takwil dengan merujuk hadis-hadis Nabi.
5. Mengerti hadis-hadis, pendapat para ulama salaf dan ijmak umat Islam, serta perbezaan pendapat.
6. Menguasai bahasa Arab.
7. Berakal sihat dan tidak bersikap terburu-buru.

Nampaknya, syarat-syarat ini menunjukkan syarat-syarat untuk menjadi seorang mujtahid (ahli ijtihad).

Jenis-jenis Qiyas menurut Imam Al-Syafie:
1. Qiyas Aqwa. Analogi yang illah pada hukum cabang (far') lebih kuat daripada illah pada hukum dasar (ashl).
2. Qiyas Musawi. Kekuatan illah pada hukum cabang (far') sama berat dengan illah pada hukum dasar (ashl).
3. Qiyas Adh'af. Illah pada hukum cabang (far') lebih lemah dengan illah pada hukum dasar (ashl).

___________________________
Bibliografi:
1. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
2. Usul al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
3. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.

Penolakan Istihsan

Istihsan menurut Abu Al-Hasan Al-Karkhi ialah penetapan hukum dari seorang mujtahid, terhadap suatu masalah yang menyimpang dari ketetapan hukum, yang diterapkan pada masalah-masalah yang serupa, disebabkan ada alasan yang sangat kuat, yang mengkehendaki dilakukan penyimpangan itu.

Imam Al-Syafie menolak penggunaan Istihsan. Buktinya, beliau telah menjelaskan tentang kelemahan Istihsan di dalam kitab Al-Umm pada 'Kitab Ibthal Al-Istihsan'. Sesuatu yang dianggap baik (istihsan) menurut sebahagian orang atas sebab-sebab tertentu mungkin merupakan anggapan yang tidak baik menurut pihak yang lain. Inilah yang menunjukkan kelemahan istihsan.

Firman Allah SWT (mafhumnya):
"Apakah manusia mengira bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dipertanggungjawaban)?" (Surah Al-Qiyamah: 36)

Ayat ini menjadi dalil akan penolakan Imam Al-Syafie terhadap Istihsan sebagai sumber hukum syarak. Imam Al-Syafie berkata, "Barangsiapa yang menggunakan Istihsan sebagai dalil, bererti ia telah membuat syariat yang baru."

___________________________
Bibliografi:
1. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
2. Usul al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
3. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi. 

Pendapat Sahabat

Menurut Prof. Muhammad Abu Zahrah, sahabat adalah orang-orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW dan pernah mendengar penjelasan syariat daripada baginda sendiri.

Seseorang bertanya kepada Imam Al-Syafie, "Bagaimana pendapat anda dalam menyingkapi pendapat para sahabat yang saling bertentangan?"

Imam Al-Syafie: "Saya akan mengikuti pendapat sahabat yang sesuai dengan Al-Qur'an, Hadis, Ijmak atau Qiyas yang benar."

Namun begitu, ada riwayat yang disebutkan oleh Sheikh Ibn Al-Qayyim dalam kitab I'lamul Muwaqqiin bahawa para sahabat Imam Al-Syafie mengatakan kehujahan pendapat para sahabat nabi ini sudah tidak diakui dalam mazhab barunya (jadid).

Prof. Muhammad Abu Zahrah tidak setuju dengan riwayat tersebut, menurutnya penentangan Imam Al-Syafie terhadap sebahagian pendapat sahabat tidak bermakna beliau tidak menjadikan pendapat sahabat sebagai hujah. Malah, Imam Al-Syafie tetap menjadikan pendapat para sahabat sebagai hujah sama ada dalam mazhab lama (qodim) atau mazhab barunya (jadid) sekiranya pendapat sahabat tersebut dekat dengan Al-Qur'an, Hadis, Ijmak atau Qiyas. Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Contohnya, Imam Al-Syafie memilih pendapat sahabat yang mengatakan maksud 3 kali Quru' ialah 3 kali suci, seperti pendapat Saidatina Aisyah, Ibnu Umar dan lain-lain. Sebahagian sahabat yang lain menyatakan pendapat yang berbeza iaitu maksud 3 kali Quru' ialah 3 kali haid. Namun, Imam Al-Syafie tetap memilih pendapat Aisyah dan Ibnu Umar kerana kesesuaian dari aspek bahasa, serta dikuatkan oleh Al-Qur'an dan Al-Sunnah.

_____________________________
Bibliografi:
1. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
2. Usul Al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
3. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
4. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi. 

Nasakh Mansukh

Dr. Subhi al-Soleh menjelaskan bahawa maksud Naskh dari segi bahasa ada beberapa makna iaitu menghilangkan, penggantian dan pemindahan. Menurut Imam Al-Syafie, Naskh bukan bermaksud pembatalan nas. Tetapi ia bermaksud masa untuk fungsi sesuatu hukum telah habis.

Imam Al-Syafie berpendapat bahawa:

1. Al-Qur'an hanya boleh dinasakh dengan Al-Qur'an.

Kata Imam Al-Syafie, "Allah SWT telah menjelaskan kepada mereka bahawa ketentuan hukum dalam Al-Qur'an hanya dapat dinasakh dengan Al-Qur'an itu sendiri. Hadis nabi tidak dapat menasakh ketentuan dalam Al-Qur'an, kerana hadis mesti mengikuti Al-Qur'an, baik dalam erti penegasan yang sama ataupun penjelasan terhadap kandungan makna yang diturunkan oleh Allah dalam Al-Qur'an secara umum."

Contohnya, surah Al-Baqarah ayat 240 telah dinasakh oleh ayat 234. Maka iddah perempuan yang ditinggal mati oleh suaminya dari setahun berubah menjadi 4 bulan 10 hari.


2. Hadis hanya boleh dinasakh dengan Hadis.

Contohnya, hadis yang menyebut mandi untuk mengangkat hadas besar hanya wajib apabila keluar air mani bagi suami yang menyetubuhi isterinya telah dinasakh oleh hadis yang menegaskan bahawa jika suami melakukan persetubuhan dengan isterinya maka ia wajib mandi untuk mengangkat hadas besar walaupun tidak keluar air mani. Hadis pertama menunjukkan suami yang menyetubuhi isterinya hanya perlu mandi apabila keluar air mani. Namun, hadis kedua telah mansukhkan hadis pertama dan menunjukkan kewajipan mandi bagi orang yang melakukan persetubuhan walaupun tidak keluar air mani.

Hanya 2 jenis naskh ini sahaja yang berlaku. Dan seperti ini jugalah yang beliau terangkan di dalam kitabnya Al-Risalah.

___________________________
Bibliografi:
1. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi.
3. Usul al-Fiqh karya Prof Muhammad Abu Zahrah.
4. Mabahits fi Ulum al-Qur'an karya Dr. Subhi al-Soleh.

____________________________

MAZHAB AL-SYAFI'E
____________________________

Hukum Bermazhab

Terdapat 4 aliran mazhab yang masyhur dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang masih utuh sehingga ke hari ini iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. 4 mazhab ini telah diasaskan oleh mereka yang faqih dan mencapai mujtahid mutlak. Kefaqihan pengasas mazhab mendorong mereka mengajar dan membimbing masyarakat awam dalam memahami syariat Islam melalui Al-Qur'an, Al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

Sebelum anda bertanya, "Perlukah kita bermazhab?", maka anda mesti menjawab terlebih dahulu "Perlukah sekolah buat saya dalam memahami syariat Islam?" Ruang lingkup maksud sekolah di sini ialah 'belajar dan berguru kepada mereka yang benar-benar faqih' dalam mempelajari dan mengetahui sesuatu. Kalau anda masih memerlukan sekolah, maka demikian juga dengan mazhab. Ini kerana tanpa mengikuti salah satu dari 4 mazhab ahli sunnah wal jamaah yang diakui tadi, maka anda tidak mampu untuk memahami syariat Islam berlandaskan Al-Qur'an, Al-Sunnah Ijmak dan Qiyas dengan baik kecuali anda telah mencapai mujtahid dan mampu berdikari dalam istinbat hukum syar'i.

Kepentingan bermazhab dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT (mafhumnya):
"Bertanyalah kepada orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Nahl: 43)

Dalil ini menunjukkan keharusan bermazhab bagi mereka yang tidak mampu berdikari dalam istinbat hukum syar'i. Sudah tentu, setiap sekolah mempunyai cara atau metod tersendiri dalam mencapai kesimpulan sesuatu hukum.

Menurut Prof. Muhammad Abu Zahrah, ketika Imam Al-Syafie belum mandiri (berdikari) dalam istinbat hukum, Imam Al-Syafie telah mengikuti Imam Malik yakni Mazhab Maliki. Oleh sebab itu, Imam Al-Syafie pernah membela mazhab Ahli Hadis (Mazhab Maliki) dalam menentang mazhab Ahli Ra'yi (Mazhab Hanafi).

Adapun mazhab Imam Al-Syafie sebelum mengikuti mazhab Maliki ialah mazhab muftinya di Mekah yakni Sufyan bin 'Uyainah (salah seorang mufti di Mekah). Dan terdapat catatan panjang lebar mufti-mufti yang terdiri dari kalangan salaf al-soleh di dalam kitab I'lamul Muwaqqiin. Mufti-mufti inilah yang mengeluarkan fatwa kepada masyarakat awam dalam menentukan sesuatu hukum.

_____________________________
Bibliografi:
1. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Usul al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
3. I'lamul Muwaqqiin karya Sheikh Ibn Al-Qayyim.
4. Sejarah Pembinaan Hukum Islam karya Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid.

Hukum Pindah Mazhab

Apabila orang awam berpegang kepada suatu mazhab (mengikut muftinya), maka diwajibkan bersesuaian dengannya. Kalau tidak, maka diwajibkan mengikuti salah satu mazhab yang tertentu di antara 4 mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali), bukan yang lain. Kemudian, jika telah mengamalkan mazhab pertama, maka ia diperbolehkan pindah ke mazhab yang lain secara keseluruhan atau dalam beberapa masalah, dengan syarat tidak memilih-milih perkara yang ringan dari setiap mazhab (tatabbu' al-rukhas) yang dengan tindakannya itu akan dihukumkan fasik (berdosa), menurut beberapa wajah. Demikian sebagaimana yang diterangkan dalam kitab Fathul Mu'in.

Menurut penyusun kitab Fathul Mu'in lagi, antara contoh-contoh pengamalan dua mazhab ialah, apabila seorang lelaki berwuduk dan menyentuh kulit wanita sebagai taklid (mengikut) mazhab Hanafi, lalu ia berbekam sebagai taklid mazhab Syafie, kemudian solat, maka solatnya tidak sah (batal), kerana adanya kesepakatan dua Imam tersebut pada batalnya wuduk.

Demikian pula apabila wuduk dan menyentuh kulit wanita tanpa syahwat sebagai mengikut mazhab Imam Malik (Maliki) dan tidak menggosok ketika berwuduk sebagai taklid kepada mazhab Syafie, kemudian solat, maka solatnya batal, kerana kesepakatan 2 imam pada batalnya wuduk orang tersebut.

Lain halnya apabila penggabungan itu terjadi pada 2 penerapan dalam ibadah, maka yang zahir bahawa hal itu tidak merosakkan sahnya taklid (tersebut), contohnya seperti seseorang berwuduk dengan mengusap sebahagian kepalanya (mengikut mazhab Syafie) kemudian solat dengan menghadap arah-arah Kaabah sebagai taklid kepada Abu Hanifah (Mazhab Hanafi), maka yang zahirnya solat itu tetap sah, kerana kedua imam tersebut tidak sepakat dalam menghukumi batalnya wuduk orang itu.

Sebahagian orang tertanya-tanya tentang hukum pindah mazhab. Sebelum mereka mendapat jawapan bagi hukum tersebut, maka terlebih dahulu mereka mesti menjawab soalan ini, "Bolehkah anda pindah sekolah?". Jawapannya adalah ya, boleh. Begitulah jawapan bagi persoalan pindah mazhab. Namun, hendaklah ia mengikuti salah satu mazhab tertentu yang telah masyhur dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah (Hanafi, Maliki, Syafie atau Hanbali).

Setiap sekolah mempunyai metod tersendiri dalam pelajaran, jika ia tidak mengikuti metod yang telah ditetapkan tersebut, maka ia tidak dinilai lulus dalam sekolah itu. Begitu juga dengan mazhab, jika seseorang bermazhab Maliki, namun ia tidak menerima pendapat ahli Madinah, maka ia tidak dikira lulus dalam mazhab tersebut, adalah lebih baik pindah sekolah atau mazhab kepada Syafie, yang tidak menggunakan pendapat ahli Madinah sebagai sumber hukum yang dapat berdiri dengan sendiri.

_________________________
Bibliografi:
1. Fathul Mu'in karya Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari. 

Hukum Berlepas Diri Dari Mazhab

Adakah boleh berlepas diri dari mazhab? Dan apakah hukumnya? Maka dalam menjawab hukum tersebut ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan iaitu sebab-sebab ia berlepas diri dari mazhab. 

1. Telah mencapai mujtahid mutlak.

Mereka yang mampu berijtihad dan memenuhi syarat-syarat mujtahid serta mempunyai metod tersendiri dalam istinbat hukum yang berbeza dengan metod mazhab yang 4 (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) maka memang perlu ia berlepas diri dari mazhab.

2. Hawa nafsu.

Mereka yang berlepas diri dari mazhab kerana suka-suka atau hawa nafsu, padahal belum mampu untuk berijtihad atau tidak memenuhi syarat-syarat mujtahid maka hukumnya haram. Hukum haram terletak pada sikap hawa nafsu dan kecuaiannya yang tidak mengikuti orang yang faqih dan alim.

3. Pindah mazhab lain.

Dalam hal ini, ia diperbolehkan berlepas diri dari mazhab pertama kepada mazhab yang kedua dengan syarat mazhab yang diikutinya itu mestinya dari salah satu dari 4 mazhab yang telah diakui oleh Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitu Hanafi, Maliki, Syafie atau Hanbali.

_______________________________
Bibliografi:
1. Fathul Mu'in karya Zainuddin bin Abdul Aziz Al-Malibari.
2. I'lamul Muwaqqiin karya Syeikh Ibn al-Qayyim.
3. Usul al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
4. Allamadzhabiyyah karya Prof. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti.

Sebab-sebab Kelahiran Mazhab

Menurut Prof. Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid, terdapat beberapa sebab yang mendorong kelahiran mazhab:

1. Perbezaan Antara Para Fuqaha Dalam Teori Hukum.

Perbezaan ini ialah merupakan asas pertama kepada wujudnya mazhab-mazhab hukum. Kalau ditakdirkan bahawa perbezaan seperti itu tidak pernah muncul di kalangan para fuqaha maka pertumbuhan mazhab seperti yang diperkatakan ini tidak berlaku.

2. Wujudnya Personaliti Yang Kuat.

Personaliti-personaliti yang kuat ini telah lahir di kalangan para fuqaha yang ternama pada waktu itu sehingga menjadikan orang ramai cukup terpengaruh dengan mereka dan merasakan bahawa pada merekalah tempat menumpang ilmu.

3. Lahirnya Kelas-Kelas Pengajaran Secara Teratur.

Dalam perkembangan ini kebanyakan para fuqaha mengadakan kelas-kelas pengajaran mereka sendiri dengan cara yang lebih teratur, yang menarik para pelajar untuk datang belajar dengan cara yang lebih teratur. Wujudnya kelas-kelas pengajaran yang teratur ini juga menjadikan fuqaha berkenaan lebih terkenal di seluruh pelusuk negeri.

4. Kesetiaan Para Murid Terhadap Para Guru Mereka.

Hal ini membawa kepada bahawa pengaruh murid ini, sesudah kematian para guru mereka, akan sentiasa menyebut para guru mereka dan mengajak orang ramai supaya menghayati pengajarannya.

______________________________
Bibliografi:
1. Sejarah Pembinaan Hukum Islam karya Prof. Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid, terbitan 'Penerbit Universiti Malaya'.

Metodologi Istinbat Mazhab Al-Syafie

Mazhab Al-Syafie hanya menjadikan Al-Qur'an, Al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas sebagai alat untuk mengistinbat hukum syarak. Demikian terjadi kerana menyedari bahawa sumber-sumber hukum syarak inilah yang bersifat dinamik dan dapat berdiri dengan sendiri.

Menurut Prof. Muhammad Abu Zahrah, Imam Al-Syafie memasukkan Istihsan ke dalam Maslahah Mursalah. Dan Mazhab Syafie tidak menganggap Maslahah Mursalah sebagai sumber hukum yang berdiri dengan sendiri, tetapi mengkategorikannya dalam Al-Qiyas (Ijtihad).

Ulama Mazhab Syafie juga menggunakan Istishhab. Istishhab ini dijadikan dalil untuk melawan atau menetapkan, bukan hanya melawan sahaja.

Menurut cerita Prof. Abdul Wahhab Khallaf, Imam Al-Syafie telah mengubah sebahagian hukum yang ditetapkan di Baghdad, ketika beliau berada di Mesir, kerana perbezaan adat atau 'Urf. Ini menunjukkan Imam Al-Syafie juga mengambil perhatian terhadap 'Urf.

Imam Al-Syafie hanya menggunakan sedikit sahaja Dzariah dan tidak menolaknya secara total. Mazhab Al-Syafie tidak menganggap Dzariah sebagai sumber hukum yang berdiri degan sendiri tetapi memasukkan Dzariah ini ke dalam Al-Qiyas.

Prof. Abdul Wahhab telah menjelaskan bahawa sebahagian pengikut Al-Syafie berpendapat mengikut hukum syariat sebelum kita (Syar' Man Qablana) adalah wajib selama telah diberitakan kepada kita dan tidak ada dalil yang menggantikannya.  

______________________________
Bibliografi:
1. Usul Al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Al-Risalah karya Imam Al-Syafie.
3. Ilm Usul al-Fiqh karya Prof. Abdul Wahhab Khallaf.

Qaul Qodim Dan Qaul Jadid Mazhab Al-Syafie

Imam Al-Syafie mempunyai 2 versi pendapat iaitu Pendapat Lama (Qaul Qodim) dan Pendapat Baru (Qaul Jadid). Qaul Qodim adalah merupakan pendapat lamanya ketika beliau berada di Baghdad, manakala Qaul Jadid adalah merupakan pendapat barunya setelah berhijrah ke Mesir.

Faktor Kelahiran Qaul Qodim dan Qaul Jadid 

Antara faktor yang mendorong Imam Al-Syafie mengubah pendapat lamanya (Qaul Qodim) kepada pendapat yang baru (Qaul Jadid) adalah disebabkan:
1. Penemuan dalil-dalil yang baru dan dapat diterima (maqbul).
2. Penemuan kekuatan atau kelemahan sesuatu dalil.

Manakah Qaul Yang Boleh Dinisbahkan Kepada Mazhab Al-Syafie?

Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam telah menjelaskan tentang hal ini. Bentuk Qaul yang boleh dinisbahkan kepada Mazhab Al-Syafie ialah:

1. Qaul Qodim yang tidak diubah oleh Imam Al-Syafie, maka ianya sebahagian daripada Mazhab Al-Syafie.
2. Qaul Qodim yang dirujuk semula oleh Imam Al-Syafie, maka ianya sebahagian daripada Mazhab Al-Syafie.
3. Qaul Qodim yang diunggulkan (tarjih) kerana kesahihan hadis, maka ianya sebahagian daripada Mazhab Al-Syafie.
4. Qaul Jadid Imam Al-Syafie yang telah ditetapkan, maka ianya sebahagian daripada Mazhab Al-Syafie.

 _____________________________
Bibliografi:
1. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.
2. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.

Beberapa Contoh Qaul Qodim Dan Qaul Jadid

Di sini akan disertakan beberapa contoh ringkas perbezaan di antara Qaul Qodim (Pendapat Lama) dan Qaul Jadid (Pendapat Baru) Imam Al-Syafie, namun sebelum mengamalkannya anda harus berguru, meneliti dan mengkaji qaul manakah yang patut diamalkan. Ini kerana mungkin Imam Al-Syafie telah merujuk pada Qaul Qodim-nya, atau Qaul Qodim berdasarkan dalil yang Sahih.

Beberapa contoh:
  1. Hukum air mengalir yang terkena najis, namun sifat-sifatnya tidak berubah. Qaul Qodim: Air mengalir tidak akan menjadi najis. Qaul Jadid: Air mengalir hukumnya sama dengan air yang tenang. Jika kuantitinya kurang dari dua kullah, maka menjadi najis.
  2. Hukum air mustakmal untuk bersuci yang wajib. Qaul Qodim: Air mustakmal hukumnya suci lagi menyucikan. Qaul Jadid: Air mustakmal hukumnya suci tetapi tidak dapat menyucikan.
  3. Hukum menjual kulit haiwan yang telah disamak. Qaul Qodim: Tidak boleh menjualnya. Qaul Jadid: Boleh menjualnya.
  4. Hukum terlupa tertib wuduk. Qaul Qodim: Sah wuduknya. Qaul Jadid: Hukumnya sama dengan orang yang tinggalkan secara sengaja, tidak sah.
  5. Hukum muwalat dalam berwuduk.  Qaul Qodim: Wajib. Qaul Jadid: Sunat, bukan Wajib.
  6. Batas waktu mengusap khuf (sepatu). Qaul Qodim: Tidak ada batas waktu. Qaul Jadid: Bagi musafir, 3 hari 3 malam manakala bagi yang mukim sehari semalam.
  7. Hukum mengusap khuf yang koyak. Qaul Qodim: Boleh mengusapnya. Qaul Jadid: Tidak boleh mengusapnya apabila koyakan itu sampai menampakkan bahagian kakinya.
  8. Hukum wuduk bagi orang yang tertidur ketika solat. Qaul Qodim: Tidak membatalkan wuduk. Qaul Jadid: Batal wuduk. Hukum tidur dalam solat sama dengan hukum tidur di luar solat.
  9. Hukum wuduk bagi orang yang menyentuh dubur manusia. Qaul Qodim: Tidak membatalkan wuduk. Qaul Jadid: Wuduknya batal.
  10. Hukum wuduk bagi orang yang menyentuh dubur binatang ternak. Qaul Qodim: Batal wuduk. Qaul Jadid: Tidak batal wuduk.
  11. Hukum wuduk bagi orang yang memakan daging unta. Qaul Qodim: Batal wuduk. Qaul Jadid: Tidak batal wuduk.
  12. Batas usapan tayamum pada tangan. Qaul Qodim: Sehingga pergelangan tangan sahaja. Qaul Jadid: Sampai ke siku.
  13. Tayamum dengan pasir. Qaul Qodim: Boleh bertayamum dengan pasir. Qaul Jadid: Tidak boleh bertayamum dengan pasir.
  14. Kes orang yang mempunyai air tetapi tidak cukup untuk mandi hadas dan berwuduk. Qaul Qodim: Tidak wajib menggunakan air itu, tayamum sahaja. Qaul Jadid: Wajib menggunakan air itu terlebih dahulu, kemudian tayamum untuk menyucikan sebahagian anggota tubuhnya yang belum tersentuh air.
  15. Kafarah menggauli isteri yang sedang haid. Qaul Qodim: Dikehendaki membayar kafarah dengan sedekah sebanyak 1 dinar jika menggauli isteri yang sedang haid pada saat datangnya darah, dan setengah dinar bagi suami yang menggauli isterinya yang sedang haid pada saat hilangnya darah. Qaul Jadid: Tidak wajib membayar kafarah, tetapi sekadar dianjurkan sahaja. Dikehendaki memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT.
  16. Hukum bersenang-senang di sekitar pusat dan lutut isteri yang sedang haid. Qaul Qodim: Perbuatan itu tidak diharamkan, tetapi makruh. Qaul Jadid: Perbuatan itu hukumnya Haram.
  17. Waktu Solat Maghrib. Qaul Qodim: 2 waktu-1 waktu saat terbenam matahari dan 1 waktu lagi sampai hilangnya sinar merah matahari. Qaul Jadid: 1 waktu. Sebatas cukup bersuci, menutup aurat, azan, iqamah dan solat.
  18.  Tidak mengetahui atau terlupa membersihkan najis pada pakaian ketika solat.  Qaul Qodim: Solatnya sah. Qaul Jadid: Solat tidak sah dan wajib mengulang.
  19. Lupa membaca Al-Fatihah dalam solat. Qaul Qodim: Solatnya sah. Qaul Jadid: Solatnya tidak sah.
  20. Hukum baca Al-Fatihah bagi makmum pada rakaat solat yang dikeraskan suara. Qaul Qodim: Makmum tidak wajib membaca Al-Fatihah melainkan pada rakaat 3 dan 4. Qaul Jadid: Makmum wajib membaca Al-Fatihah dalam setiap rakaat pada setiap solat.
  21. Mengucapkan salam di akhir solat. Qaul Qodim: Disyariatkan hanya salam pertama sahaja. Qaul Jadid: Salam kedua disyariatkan dan sunat hukumnya.
  22. Hadas ketika solat. Qaul Qodim: Hanya batal wuduk, tidak batal solat. Oleh itu, perlu keluar barisan solat dan pergi berwuduk lalu sambung kembali solat tadi. Qaul Jadid: Solatnya batal. Perlu mengulangi solat dari awal.
  23. Menggantikan imam yang berhadas. Qaul Qodim: Tidak boleh menggatikannya. Qaul Jadid: Boleh mengganti imam.
  24. Kes melewatkan solat dalam perjalanan lalu ia mengqadanya di rumah. Qaul Qodim: Boleh mengqasarnya, apabila melakukan solat di rumah. Qaul Jadid: Tidak boleh mengqasarkannya, jika melaksanakan solat di rumah.  
  25. Hukum merampas sebahagian harta orang yang tidak mahu membayar zakat. Qaul Qodim: Boleh. Qaul Jadid: Tidak boleh.
  26. Hutang menghalangi bayar zakat. Qaul Qodim: Hutang menggugurkan kewajipan membayar zakat. Qaul Jadid: Hutang tidak menghalangi kewajipan membayar zakat.
  27. Permulaan waktu wajib membayar zakat fitrah. Qaul Qodim: Saat terbitnya fajar di hari Ied Fitri. Qaul Jadid: Wajib membayar zakat fitrah pada waktu selepas terbenamnya matahari di hari terakhir bulan Ramadan atau malam menjelang Ied Fitri.
  28. Membayar fidyah bagi orang tua atau orang sakit yang tidak mampu berpuasa. Qaul Qodim: Tidak wajib membayar fidyah. Qaul Jadid: Wajib membayar fidyah.
  29. Gila sampai setengah hari bagi orang yang berpuasa. Qaul Qodim: Sah puasanya. Qaul Jadid: Tidak sah puasanya.
  30. Meninggal dunia sebelum mengqada puasa. Qaul Qodim: Walinya boleh berpuasa untuk orang yang meninggal dunia atau membayar fidyah. Boleh pilih salah satu.  Qaul Jadid: Walinya tidak boleh menggantikan puasa untuk orang yang meninggal dunia. Tetapi, wajib membayar fidyah.
  31. Hukum Umrah. Qaul Qodim: Umrah hukumnya sunat, bukan wajib. Qaul Jadid: Hukum Umrah adalah wajib.
  32. Hukum ihram bagi anak kecil yang mumayyiz (boleh membezakan baik & buruk) tanpa izin walinya. Qaul Qodim: Tidak boleh. Qaul Jadid: Boleh.
  33. Hukum melanggar larangan ihram bagi anak kecil dengan sengaja. Qaul Qodim: Mesti membayar fidyah dengan wang anak kecil itu. Qaul Jadid: Fidyah diambil dari wang walinya.
  34. Meninggal dunia ketika sedang menunaikan haji. Qaul Qodim: Diperbolehkan menggantikan hajinya. Qaul Jadid: Tidak diperbolehkan menggantikan hajinya.
  35. Hukum berihram sebelum waktu ihram. Qaul Qodim: Ihramnya boleh ditangguhkan sampai bulan-bulan haji. Qaul Jadid: Ihramnya dianggap ihram umrah.
  36. Hukum tawaf dengan badan serong (45 darjah) atau kurang sempurna. Qaul Qodim: Boleh. Qaul Jadid: Tidak boleh. Hendaklah betul-betul sempurna dan bukan dengan sebahagian badan sahaja.
  37. Hukum berhadas ketika sedang tawaf. Qaul Qodim: Mesti pergi berwuduk dan tidak boleh menyambung tawafnya dan perlu mulai dari awal. Qaul Jadid: Boleh melanjutkan tawafnya setelah berwuduk.
  38. Hukum menjual sesuatu yang belum dimiliki. Qaul Qodim: Akad penjualan ditangguhkan sampai mendapat izin pemilik barang yang hendak dijual. Apabila diizinkan maka penjualan itu sah. Qaul Jadid: Hukum penjualan ini batal.
  39. Azan bagi solat qada’. Qaul Qodim: Tetap perlu azan. Qaul Jadid: Tidak perlu azan, hanya iqamah sahaja.
  40. Memakan kulit bangkai haiwan yang telah disamak. Qaul Qodim: Tidak boleh memakannya, tidak kira binatang yang halal atau haram dimakan. Qaul Jadid: Boleh dimakan jika dari binatang yang halal.
  41. Solat Isya’. Qaul Qodim: Mendahulukan solat Isya’ lebih utama. Qaul Jadid: Mengakhirkan solat Isya’ lebih utama.
  42. Makmum yang membaca amin. Qaul Qodim: Makmum dianjurkan membaca amin dengan keras (jahar). Qaul Jadid: Makmum tidak perlu membaca amin dengan keras.
  43. Membaca surah bagi imam atau orang yang solat sendirian pada rakaat ketiga dan keempat. Qaul Qodim: Tidak disunatkan. Qaul Jadid: Disunatkan. 

_____________________________  
Bibliografi:
1. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.

Pelbagai Qaul Dalam Mazhab Al-Syafie

Dalam Mazhab Al-Syafie terdapat berbagai macam pendapat (Qaul). Pendapat-pendapat ini datang dari Imam Al-Syafie sendiri (aqwal) dan juga tokoh-tokoh fiqh Mazhab Al-Syafie (awjuh). Oleh yang demikian, sesiapa yang membaca kitab-kitab Mazhab Al-Syafie mesti memerhatikan dengan betul apakah pendapat itu adalah merupakan suatu pendapat yang diterima atau tidak.

Berbagai macam Qaul Dalam Mazhab Al-Syafie secara ringkas:

  1. Qaul Qodim = Pendapat Lama Imam Al-Syafie ketika berada di Baghdad.
  2. Qaul Jadid = Pendapat Baru Imam Al-Syafie setelah berada di Mesir.
  3. Qaul Sahih = Pendapat yang benar. Lawannya Qaul Daif, yakni pendapat yang lemah.
  4. Qaul Ashah = Pendapat yang lebih dibenarkan dari pendapat-pendapat yang ada. Lawannya ialah Qaul Qawi, yakni pendapat yang kuat. Apabila keduanya bertemu maka yang dipegang ialah Qaul Ashah.
  5. Qaul Azhar = Pendapat yang diunggulkan dari segi pertimbangan Ashhab Al-Syafie. Lawannya ialah Qaul Daif (lemah), yang tidak dapat dipegang.
  6. Qaul Rajih = Pendapat yang diberatkan (tarjih) dari beberapa pendapat Imam Al-Syafie menurut pandangan Ashhab (tokoh mazhab Al-Syafie sebelum zaman Al-Rafi'i dan Al-Nawawi).
  7. Qaul Daif = Pendapat yang lemah yang tidak boleh difatwakan dan diikut.
  8. Qaul Syaz = Pendapat yang luar biasa, tidak boleh dijadikan hukum.
  9. Qaul Masyhur = Pendapat yang tersebar, di antara beberapa pendapat.
10. Qaul Mukhtar = Pendapat yang terpilih, di antara beberapa pendapat.

Kepentingan mengetahui pendapat-pendapat ini adalah kerana dapat menghindarkan diri dari ditipu oleh sebahagian pihak, yang cuba mempengaruhi orang awam yang bermazhab Al-Syafie. Ini kerana ada orang yang beralasan tidak batal wuduk menyentuh wanita kerana dalam Mazhab Al-Syafie ada Qaul Daif (lemah), yang menyebutkannya. Ternyata, anda sudah mengetahui bahawa Qaul Daif tidak boleh difatwakan dan diikut. Sebahagian pihak yang lain pula berkata bahawa menurut Qaul yang Masyhur (pendapat yang tersebar), pahala bacaan Al-Qur'an kepada si mati tidak akan sampai. Ternyata, Qaul yang Mukhtar dan Muktamad dalam mazhab Al-Syafie adalah boleh sampainya pahala bacaan Al-Qur'an itu kepada si mati.

Wallahu a'lam bis shawab.

______________________________
Bibliografi:
1. Hukum-hakam Solat Berjemaah karya Ustaz Muhammad Haidzir bin Hussin bin Ibrahim. 
2. Kifayatul Akhyar terbitan Pustaka Nasional, Singapura.
3. Fiqh dan Perundangan Islam karya Dr. Wahbah Az-Zuhaili terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
4. Argumentasi Ulama Syafi'iyyah karya Ustaz Hj. Mujiburrahman. 

Kitab-kitab Dan Tokoh-tokoh Mazhab Al-Syafie

Terdapat banyak kitab-kitab yang dijadikan rujukan dalam memahami fiqh Mazhab Al-Syafie. Antara rujukan-rujukan tersebut ialah:

1. Tuhfatul Muhtaj. Penyusun: Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami.
2. Nihayatul Muhtaj. Penyusun: Syeikh Muhammad Al-Ramli.
3. Mughni al-Muhtaj. Penyusun: Syeikh Al-Khatib Al-Syarbini.
4. Al-Hawi Al-Kabir. Penyusun: Syeikh Abu Al-Hasan Ali Muhammad Al-Mawardi.
5. Bahrul Madzhab. Penyusun: Syeikh Al-Ruyani.
6. Al-Muhadzdzab. Penyusun: Syeikh Abu Ishaq Al-Syairazi.
7. Al-Majmu' Syarh Al-Muhadzdzab. Penyusun: Syeikh Muhyiddin Al-Nawawi.
8. Fathul Wahhab. Penyusun: Syeikh Zakaria Al-Anshari.
9. Bujairimi Alal Khatib. Penyusun: Syeikh Sulaiman Al-Bujairimi.
10. Hasyiatul Jamal. Penyusun: Syeikh Sulaiman bin Amr bin Mansur Al-'Ajili Al-Mishri. 
11. Qalyubi wa 'Umairah. Penyusun: Syeikh Syihabuddin Al-Qalyubi dan Syeikh Umairah.
12. Al-Iqna'. Penyusun: Syeikh Al-Khatib Al-Syarbini.
13. Kifayatul Akhyar. Penyusun: Syeikh Taqiyuddin Al-Husaini.
14. Raudhatut Tholibin. Penyusun: Syeikh Muhyiddin Al-Nawawi.
15. Fathul Mu'in. Penyusun: Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz Al-Malibari.
16. I'anatut Tholibin. Penyusun: Abu Bakr Al-Masyhur Bisayyid Al-Bakri Al-Dimyati.
17. Al-Fiqh Al-Manhaji 'Ala Madzhab Al-Syafie. Penyusun: Dr. Mustafa Al-Bugho, Dr. Mustafa Al-Khen dan Syeikh Ali Al-Syarbaji. 

Berkata Ustaz Haji Mujiburrahman, "Kitab Tuhfah karangan beliau (Ibnu Hajar al-Haitami) mendapat kedudukan yang tinggi di kalangan Mazhab Al-Syafie, kerana ulama-ulama Syafie mutaakhkhirin telah sepakat bahawa yang dipegang dan dijadikan dasar dalam berfatwa atau dalam peradilan-peradilan agama adalah kitab Tuhfah karangan Ibnu Hajar al-Haitami dan kitab Nihayah karangan Syamsuddin Al-Ramli. Namun, kalau terjadi perbezaan pendapat antara kitab Tuhfah dan Nihayah, maka yang dijadikan pegangan dalam berfatwa adalah kitab Tuhfah. Hal ini kerana sesudah dilakukan penelitian secara mendalam ternyata kitab Tuhfah yang lebih kuat hujahnya dan lebih tepat dalam mengeluarkan hukum dari Al-Qur'an dan Al-Sunnah sesuai dengan metod yang telah digariskan oleh Imam Al-Syafie rahimahullah." (Halaman 265-266, Argumentasi Ulama Syafi'iyah)

Selain senarai kitab-kitab fiqh Mazhab Al-Syafie di atas, setiap orang yang mahu mengkaji dalil-dalil mazhab Al-Syafie mesti mengkaji kitab Sunan Al-Baihaqi. Ustaz Umar Muhammad Noor berkata, "Kitab Sunan Al-Kubra Al-Baihaqi ini ditujukan khas untuk menjelaskan hadis-hadis yang menjadi dalil penyokong mazhab Al-Syafie dan membuktikan kekuatan mazhab ini dari segi sunnah. Setiap orang yang ingin mengetahui dalil-dalil mazhab Al-Syafie, mesti mengkaji buku ini."
___________________________
Bibliografi:
(1) Argumentasi Ulama Syafi'iyah karya Ustaz Haji Mujiburrahman.
(2) Hukum-hakam Solat Berjemaah karya Ustaz Haidzir bin Hussin bin Ibrahim.

Bahaya Fanatik Mazhab

Fanatik menurut Kamus Dewan bermaksud orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian.

Fanatik Mazhab bermaksud orang yang keterlaluan pada sesuatu mazhab. Sikap fanatik ini tidak disukai oleh para ulama. Maka, kita dituntut supaya bersikap toleransi dan bersederhana dalam pendirian.

Pernah Imam Al-Syafie berkata, "Jika kalian menjumpai dalam kitabku sesuatu yang menyalahi sunnah, maka ambillah sunnah itu dan tinggalkan pendapatku."

Oleh yang demikian, setiap orang yang mengikuti Mazhab Al-Syafie dinasihatkan agar tidak bersikap fanatik sampai menyebabkan perkara-perkara berikut:
1. Menolak suatu hadis Sahih yang bertentangan dengan Mazhab Al-Syafie. Namun, sebelum mengamalkan hadis sahih itu, adalah penting merujuk kepada ahli-ahli fiqh (fuqaha') dan hadis (muhaddits) terlebih dahulu.
2. Muktamad berpendirian bahawa hanya Mazhab Al-Syafie sahaja yang benar, adapun mazhab selain Al-Syafie (Hanafi, Maliki, Hanbali) semuanya salah dan tidak betul.
3. Mereka-reka hadis palsu bagi membela Mazhab Al-Syafie.
4. Bertengkar atau berperang dengan mazhab selain Al-Syafie (Hanafi, Maliki, Hanbali).
5. Mempermainkan dalil seperti mengubah redaksi nas demi mempertahankan Mazhab Al-Syafie.

Menurut Sheikh Ibn al-Qayyim, bentuk-bentuk taklid yang diharamkan ialah:
1. Berpaling dari apa yang telah diturunkan oleh Allah, tanpa meneliti kembali kerana merasa cukup dengan taklid kepada nenek-moyang.
2. Taklid kepada orang yang tidak diketahui kredibiliti keahliannya.
3. Taklid sesudah tertegaknya hujah dan telah jelas dalil-dalil yang menyalahi pendapat orang yang diikuti.

Selanjutnya kata Sheikh Ibnu al-Qayyim,"Sesungguhnya Allah SWT mencela orang-orang yang berpaling dari apa yang diturunkan oleh Allah kemudian bertaklid (mengikuti) apa yang dilakukan oleh nenek-moyangnya tanpa didasari ilmu pengetahuan. Taklid seperti ini yang diharamkan dan dicela oleh para ulama dan Imam mujtahid yang empat (Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad). Adapun bertaklid kepada orang yang mengerahkan segala upaya untuk mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah, di mana dia tidak mengetahui sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah, kemudian dia bertaklid kepada orang yang lebih mengetahuinya, maka jenis taklid ini dipuji dan tak dicela, diberi pahala dan tak diseksa."

Kata Ustaz Umar Muhammad Noor, "Perbezaan adalah sebuah kenyataan". Kesimpulannya, bersederhanalah dalam kehidupan bermazhab. Semoga sikap toleransi sesama umat Islam dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dan mewujudkan umat Islam yang bersatu-padu dalam menentang musuh-musuh Islam. Wallahu a'lam.

______________________________
Bibliografi:
1. I'lamul Muwaqqiin karya Sheikh Ibn Al-Qayyim.
2. Argumentasi Ulama Syafi'iyah karya Ustaz Haji Mujiburrahman.

Penyebaran Mazhab Al-Syafie di Nusantara

Imam Al-Syafie sangat suka mengembara ke merata tempat bagi tujuan belajar dan mengajar. Kesungguhannya mengembara menjadikan diri beliau dikenali dan dikagumi oleh ramai umat Islam. Hasilnya, penyebaran Mazhab Al-Syafie telah berlaku di wilayah tanah arab seperti Mekah, Iraq, Yaman, Mesir dan di wilayah-wilayah yang lain seperti Parsi dan Nusantara.

Kemungkinan penyebaran ini disebabkan 2 faktor:
(1) Kemasyhuran Imam Al-Syafie.
(2) Kemasyhuran tokoh-tokoh Mazhab Al-Syafie.

Menurut para pengkaji sejarah, kedatangan Islam di Nusantara telah dibawa oleh para mubaligh asing yang datang dari Arab, Parsi, India atau Cina. Dipercayai, kitab yang dijadikan rujukan atau pegangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka ialah:
(1) Al-Dar al-Manzum karya Abu Ishaq Al-Syirazi (Tokoh Mazhab Al-Syafie).
(2) Minhaj al-Tholibin karya Imam Al-Nawawi (Tokoh Mazhab Al-Syafie).
(3) Ihya' Ulum al-Din karya Abu Hamid Al-Ghazali (Tokoh Mazhab Al-Syafie).

Kesimpulannya, pengaruh Imam Al-Syafie dan tokoh-tokoh Mazhab Al-Syafie telah menyebabkan para mubaligh membawa Mazhab Al-Syafie ke Nusantara dan menyebarkannya dalam kalangan warganegara.

_______________________________
Bibliografi:
1. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi.
3. Pra-U STPM Tamadun Islam. Terbitan Longman.
4. Nota STPM Tamadun Islam. Mahayudin Hj. Yahaya.

Mazhab Al-Syafie, Mazhab Fiqh Atau Hadis?


Hadis Sahih Adalah Mazhabku

Imam Al-Syafie pernah berkata, "Hadis sahih adalah mazhabku". Kata-kata ini seakan menunjukkan bahawa Mazhab Al-Syafie adalah Mazhab Ahli Hadis. Ini lebih diperkukuhkan dengan kata-kata beliau yang lain, "Jika kalian menemukan di dalam kitabku sesuatu yang menyalahi sunnah, maka ambillah sunnah itu dan tinggalkan pendapatku!".

Imam Al-Syafie Ahli Fiqh

Sebelum sempat kita mengatakan Mazhab Al-Syafie sebagai mazhab ahli hadis, maka kita disedarkan bahawa Imam Al-Syafie adalah merupakan Ahli Fiqh. Banyak sekali pendapat-pendapatnya yang berdasarkan fiqh. Contohnya, dalam Qaul Jadid Imam Al-Syafie (Pendapat Baru Imam Al-Syafie), beliau telah memfatwakan tidak batal wuduk kerana memakan daging unta. Kalau benar, Imam Al-Syafie merintis jalan ahli hadis, pasti beliau tidak akan mengubah fatwanya yang lama (Qaul Qodim) yang mengatakan batal wuduk bagi orang yang memakan daging unta dan perlu berwuduk semula, berdasarkan hadis bahawa Rasulullah SAW memerintahkan supaya berwuduk semula setelah memakan daging unta. Namun, kefaqihan Imam Al-Syafie terhadap hadis berkenaan telah menyebabkan beliau mengubah pendapatnya yang lama. Ini terjadi kerana lafaz wuduk dalam hadis tersebut difahami oleh Imam Al-Syafie sebagai berkumur-kumur. 

Kombinasi Fiqh Dan Hadis

Pendapat yang benar ialah Imam Al-Syafie telah menyampaikan kepada para muridnya kombinasi antara fiqh dan hadis. Sesungguhnya fiqh dan hadis saling memerlukan. Hadis tanpa Fiqh, mengelirukan. Dan Fiqh tanpa Hadis, menyesatkan. Oleh yang demikian, Mazhab Al-Syafie adalah merupakan suatu mazhab yang amat mementingkan gabungan metod dan kefahaman Ahli Fiqh dan Ahli Hadis dalam istinbat hukum. Demikian kerana mazhab ini merintis sebagaimana perjalanan pengasasnya (Imam Al-Syafie).

Imam Al-Syafie telah mempelajari metod dan kefahaman ahli hadis dari Imam Malik bin Anas (pengasas Mazhab Maliki) di Madinah. Lalu, beliau belajar pula metod dan kefahaman ahli fiqh rasional (ra'yi) dari Imam Muhammad bin Al-Hasan di Iraq. Lantas, beliau menggabungkan metod dan kefahaman ahli hadis dan ahli fiqh rasional sebagai mazhabnya. Oleh sebab itu, beliau menerima Ijmak tetapi menolak Adat Ahli Madinah dan menerima Qiyas tetapi menolak Istihsan sebagai sumber hukum yang asas. Adapun kata-kata beliau, "Jika kalian menemukan di dalam kitabku sesuatu yang menyalahi sunnah, maka ambillah sunnah itu dan tinggalkan pendapatku!", kata-kata ini bermaksud seandainya ada pendapat peribadi beliau yang tidak didasarkan dengan nas, lalu bertentangan dengan nas (sunnah).   

Oleh yang demikian, jika seseorang membawakan suatu hadis sahih yang kebetulan bertentangan dengan fatwa Imam Al-Syafie, maka dia mesti merujuk kepada ulama' Mazhab Al-Syafie terlebih dahulu bagi mengenal pasti sama ada Hadis Sahih itu benar-benar bertentangan ataupun tidak dengan fatwa Imam Al-Syafie. Mungkin Imam Al-Syafie telah mendahulukan hadis sahih yang bersifat menetapkan adanya berbanding hadis sahih yang menafikan seperti hadis qunut subuh yang bersifat menetapkan adanya, berbanding hadis sahih yang menafikan.   
______________________________
Bibliografi:
(1) Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
(2) Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qodim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi.

Imam Al-Syafie Terkeluar Dari Mazhab Al-Syafie

Pada masa yang lalu, kita telah membincangkan tentang Qaul Qodim dan Qaul Jadid serta berbagai macam Qaul (Pendapat-pendapat) dalam Mazhab Al-Syafie. Tetapi, masih ada yang belum dibahaskan iaitu tentang Qaul Imam Al-Syafie dan Qaul Mazhab Al-Syafie. 

Imam Al-Syafie Terkeluar Dari Mazhab Al-Syafie
Jika ada yang rajin berinteraksi bersama-sama dengan ustaz-ustazah, mungkin dia pernah terdengar kata-kata seperti ini, "Pendapat Imam Al-Syafie tak semestinya pendapat Mazhab Al-Syafie". Persoalannya, adakah kata-kata ini membuktikan bahawa Imam Al-Syafie terkeluar dari Mazhab Al-Syafie?
Qaul Imam Al-Syafie dan Mazhab Al-Syafie
Saya telah mengemukakan persoalan tersebut kepada Ustaz Umar Muhammad Noor. "Pendapat Imam Al-Syafie tak semestinya pendapat Mazhab Al-Syafie. Persoalannya, adakah kata-kata ini membuktikan bahawa Imam Al-Syafie terkeluar dari Mazhab Al-Syafie? Ataukah ianya bermaksud bukan pendapat yang sahih dalam mazhab?" Lantas, Ustaz Umar berkata, "...yang kedua ini lebih tepat". Ini menunjukkan perbezaan pendapat antara Imam Al-Syafie dan para pengikut Al-Syafie diperbincangkan dari sudut Qaul (pendapat/ kata).

Pengikut Mazhab Al-Syafie yang Sebenar
Pernah suatu ketika saya dikejutkan pula dengan kata-kata seseorang, mafhumnya, "Pengikut Mazhab Al-Syafie sekarang tidak mengikut kata-kata Imam Al-Syafie yang sebenar. Mereka bertentangan dengan pendapat Imam Al-Syafie, tetapi mereka berani mengatakan bahawa mereka adalah pengikut Mazhab Al-Syafie." Secara logik, memang seseorang yang mengikuti Mazhab Al-Syafie perlu mengikuti pendapat Imam Al-Syafie. Tetapi, hakikat dan realiti sebenar tidak begitu maksudnya. Hal yang benar ialah seseorang yang mengikuti Mazhab Al-Syafie perlu berpegang kepada pendapat yang Sahih atau Muktamad dalam Mazhab Al-Syafie. 

Mengapa Terjadi Perbezaan Pendapat Antara Imam Al-Syafie dan Pengikutnya?
Faktor yang menyebabkan perbezaan pendapat ini adalah disebabkan:

(1) Kehujahan nas atau dalil. 
Mungkin pengikut Mazhab Al-Syafie telah menemui dalil atau hadis yang sahih yang bertentangan dengan pendapat Imam Al-Syafie atau mereka telah menemui kelemahan pendapat Imam Al-Syafie.

(2) Pentarjihan. 
Mungkin perbezaan ini terjadi kerana pentarjihan pengikut Mazhab Al-Syafie yang berbeza dengan pentarjihan Imam Al-Syafie.
Kata Ustaz Haji Mujiburrahman
Harus dibezakan antara "pendapat Mazhab Syafi'i" dan "pendapat Imam Syafi'i". Tidak semua produk hukum yang ada dan berlaku dalam madzhab Syafi'i bersesuaian dengan pendapat Imam Syafi'i kerana terdapat kemungkinan dan kebolehan untuk mentahqiq kembali pendapat imam. 

Tidak ada satu huruf pun pada ucapan Imam Syafi'i yang mengatakan bahawa pendapat yang sudah beliau kemukakan harus diamalkan dan tidak boleh diganggu gugat oleh pengikut-pengikut beliau yang sesudahnya. Justeru beliau mengatakan yang sebaliknya iaitu "Jika kamu dapatkan di dalam kitabku sesuatu yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW, maka ambillah sunnah Rasulullah SAW itu dan tinggalkan ucapanku." 

Ucapan beliau ini walaupun merupakan petanda ketawadhu'an namun dengan penuh pertimbangan dan semangat kehati-hatian telah dilaksanakan oleh para ulama pengikut beliau. Jadi, tidak benar kalau dikatakan bahawa ulama-ulama Syafi'iyah mengikuti saja secara membabi buta ucapan-ucapan Imam Syafi'i kerana kalau itu dilakukan bererti menentang perintah Imam Syafi'i sendiri.

_____________________________
Bibliografi:
(1) Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
(2) Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qodim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi.
(3) Argumentasi Ulama Syafi'iyah karya Ustaz Haji Mujiburrahman.
(4) Soal-Jawab bersama Ustaz Umar Muhammad Noor.

Mujtahid Mazhab Al-Syafi'i


Mujtahid adalah merupakan istilah yang merujuk kepada orang yang melakukan ijtihad. Ijtihad pula lazim bermaksud seseorang yang mengerah segala keupayaannya dalam bentuk fikiran atau tenaga bagi menetapkan sesuatu.

Terdapat beberapa tingkatan mujtahid, iaitu:

(1) Mujtahid Mutlak.
Mujtahid Mutlak adalah golongan mujtahid yang bebas berijtihad dan boleh merumus sendiri metodologi ijtihadnya (ushul) serta mampu menerapkan dalam masalah-masalah furu' (cabang). Imam Al-Syafi'i menduduki tingkatan yang pertama ini. 

(2) Mujtahid Muntasib.
Mujtahid Muntasib adalah golongan yang tidak bebas berijtihad dan tidak pula merumuskan metodologi ijtihadnya (ushul) sendiri. Ia mengikuti metodologi Imam Mazhab tetapi ada berbeza pendapat dengan Imam Mazhab dalam masalah furu'. Al-Buwaiti dan Al-Muzani menduduki tingkatan yang kedua ini.

(3) Mujtahid Muqaiyad.
Mujtahid Muqaiyad adalah golongan yang berijtihad pada masalah yang tiada nas daripada Imam Mazhab.  Antara mereka yang menduduki tingkatan ini ialah Abu Ishaq Al-Syirazi, Al-Marwazi, Abu Nasr dan Ibnu Khuzaimah.  

(4) Mujtahid Murajjih/ fil Mazhab.
Mujtahid Murajjih adalah golongan mujtahid yang mentarjih di antara apa yang disebut oleh Imam Mazhab dan apa yang disebut oleh murid-muridnya ataupun oleh para imam yang lain. Golongan ini sering membuat perbezaan antara pendapat yang kuat, rajih, marjuh dan lemah dalam mazhab. Antara mereka yang menduduki tingkatan ini ialah Imam Al-Rafi'i dan Imam Al-Nawawi.

________________________________
Bibliografi:
1. Al-Syafi'i karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Usul al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
3. Pendidikan Islam 2 karya Prof. Madya Musa bin Fathullah Harun.
4. Fiqh & Perundangan Islam (Al-Fiqh Al-Islami) karya Prof. Wahbah Az-Zuhaili. 

Sukar Memahami Hujah Mazhab Syafie

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Segala pujian bagi Allah SWT dengan limpah kurnia, rahmat, dan kasih sayang-Nya kita masih lagi dihidupkan pada hari ini, diberi rezeki melimpah ruah dan diberikan kelapangan masa dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sesungguhnya bagi penuntut ilmu itu pahala yang besar dan meraih keredaan Allah SWT, para rasul, para malaikat dan sekalian makhluk sama ada di langit mahupun yang ada di bumi, sama ada di daratan mahupun yang ada di dalam lautan. 

Pada kali ini saya ingin berkongsikan sebuah tulisan tentang  "Sukar Memahami Hujah Mazhab Syafie". Idea penulisan ini tercetus dalam fikiran saya sudah lama. Dan guru saya, al-Fadhil Ustaz Umar Muhammad Noor juga sempat berpendapat demikian. 

Bagi saya, betapa sukarnya untuk kita memahami hujah mazhab Syafie. Ini kerana Imam al-Syafie dan para tokoh mazhab ini tidak sekadar mempertimbangkan dari satu sudut, tetapi dari setiap sudut. Sebagai contoh, menurut qaul mukhtar (terpilih) mazhab Syafie batal wuduk sentuh wanita bukan mahram tanpa lapik. 

Peringkat Pertama: 

Dalam peringkat pertama mazhab Syafie berhujah bahawa sentuh wanita dapat membatalkan wuduk kerana berdasarkan firman Allah SWT surah al-Ma'idah ayat 6.



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

  

Jadi kita dapat lihat dalil yang digunakan oleh mazhab ini dalam kes ini adalah daripada al-Quran.


Peringkat Kedua:


Dalam peringkat kedua, terdapat beberapa halangan dalam menetapkan adakah benar ayat tersebut menunjukkan batalnya wuduk sentuh wanita bukan mahram. Ini kerana seorang sahabat nabi yang didoakan oleh Nabi SAW  supaya diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama dan pandai mentakwil yakni Abdullah bin Abbas (Ibnu Abbas), berpendapat bahawa lafaz "laamastum" pada ayat tersebut bererti "jimak"  bukan bererti "sentuh". 

Dalam menanggapi hal itu, mazhab Syafie tetap berpendapat lafaz dalam ayat tersebut adalah bererti "sentuh" atas alasan-alasan berikut:


(1) Terdapat qiraat mutawatir lain yang membaca dengan "lamastum" yakni memang bererti "sentuh". 

(2) Terdapat dua qaul sahabat yang juga terkenal faqih dalam agama selain Ibnu Abbas yakni Abdullah bin Mas'ud dan Abdullah bin Umar yang menafsirkan "laamastum" sebagai "sentuh". 

(3) Lafaz "Laamastum" itu mungkin diertikan sebagai zahir atau ditakwil secara maknawi. Erti secara zahir ialah "sentuh" manakala erti secara maknawi ialah "jimak". Jadi, ulama mazhab Syafie berhujah mafhumnya, "Jika suatu lafaz itu boleh diambil sebagaimana zahirnya, mengapa pula mahu ditakwilkan secara maknawi???" 

(4) Pada kebiasaannya jika suatu ayat sukar untuk diketahui maknanya, maka ulama tafsir akan merujuk kepada syair-syair Arab sebagai pendokong suatu maksud suatu ayat. Penafsiran dengan erti "sentuh" sangat selari dengan syair Arab. Syair itu telah disebutkan oleh Imam al-Syafie dalam kitabnya al-Umm. 

Peringkat Ketiga: 

Dalam peringkat ketiga ini, mazhab Syafie menetapkan bahawa tidak semua wanita jika seorang lelaki menyentuhnya maka batal wuduk. Terdapat pengecualian. Pertama, dikecualikan kanak-kanak perempuan. Ini kerana ayat tersebut menggunakan lafaz "nisaa'" yang bererti wanita dewasa, maka tidak batal wuduk sekiranya menyentuh kanak-kanak perempuan. 

*Tambahan: Sekiranya ada hadis yang menunjukkan Nabi SAW selepas menyentuh Aisyah RA nabi tidak berwuduk lagi, saya berpendapat mungkin hadis tersebut disesuaikan kepada Aisyah yang masih belum dapat disebut "nisaa'". Tetapi, ulama kata dalam hadis itu Nabi SAW menyentuh Aisyah dengan berlapik. Wallahu a'lam bis shawab.



Peringkat Keempat:


Dalam peringkat keempat, peringkat yang terakhir ialah tidak batal wuduk jika menyentuh wanita bukan mahram. Ini adalah sebagaimana qaul qodim Imam al-Syafie yang masih lagi dipegang dan diamalkan hingga kini. Pertanyaannya mengapa wanita bukan mahram dikecualikan? Jawapan bagi persoalan tersebut ialah:

(1) Kata "nisaa'" dalam ayat itu sudah tentu tidak boleh berlaku pada semua wanita dalam erti kata lain mesti terdapat perbezaan wanita mahram dan bukan mahram. Ini kerana terdapat ayat-ayat lain yang membezakan wanita mahram dan wanita bukan mahram, maka digunapakai ilmu usul fiqh yakni muqayyad atau taqyid. 

*Bagi mereka yang belum memahami mutlaq-muqayyad mohon rujuk kepada asatizah yang berhampiran dengan anda.


Apa akan jadi kalau semua ayat yang menggunakan lafaz "nisaa'" merujuk kepada semua wanita tanpa dibezakan wanita mahram dan wanita bukan mahram? Dikhuatiri ayat yang menganjurkan nikah yang menggunakan lafaz "nisaa'" juga merujuk kepada semua wanita tanpa dibezakan wanita mahram dan bukan mahram. Ini adalah salah. Ayat nikah tersebut ialah surah al-Nisa' ayat 3: 

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً



Oleh itu, mesti dibezakan hukum terhadap wanita mahram dan wanita bukan mahram. 

(2) Lelaki yang normal pasti tidak akan merasa syahwat jika menyentuh wanita mahram (terutama yang ada hubungan nasab dengannya). Jadi, sudah tentu mesti dibezakan hukum antara wanita mahram dan bukan mahram. 


Kesimpulannya, dalam mazhab Syafie, menyentuh wanita bukan mahram boleh membatalkan wuduk. Manakala menyentuh kanak-kanak wanita yang belum baligh dan menyentuh wanita mahram tidak membatalkan wuduk. 


Wabillahi tawfiq wal hidayah. 
Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

*Jika terdapat kesilapan dalam penulisan ini, penulis mohon diperbetulkan dan ditegur secara hikmah. Semoga Allah merahmati kita semua. 

Wallahualam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...